Kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diperkukuh menerusi Memorandum Kerjasama (MoU) yang bakal menjadi pemangkin kepada penyelarasan serta pelaksanaan operasi yang lebih cekap, bersepadu, dan berimpak tinggi dalam menyantuni keperluan Komuniti FELDA.
Kesepakatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua agensi untuk menggembleng kepakaran, rangkaian, dan jaringan penyampaian masing-masing dalam memperluas perlindungan keselamatan sosial, program pencegahan, perkhidmatan rehabilitasi, serta peluang pekerjaan kepada seluruh ekosistem Kumpulan FELDA merangkumi peneroka, suri rumah, generasi baharu, petugas, pekerja asing, majikan, dan perusahaan. Usaha strategik ini sekali gus menyokong aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan, dan terangkum tanpa membiarkan mana-mana golongan tercicir daripada arus pembangunan negara.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Menara FELDA itu menyaksikan dokumen ditandatangani oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman, dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Encik Ahmad Syaarani Azulan, manakala PERKESO diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, serta Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain. Sesi tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Dato’ Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia FELDA, Encik Ahmad Tarmizi Zakaria dan Ahli Lembaga FELDA, Encik Abd Halim Abd Majid.
FELDA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa inisiatif ini merangkumi perlindungan keselamatan sosial, keselamatan dan kesihatan, rehabilitasi, sokongan kembali bekerja, serta pembangunan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi baharu. Kerjasama ini diharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan sosioekonomi Komuniti FELDA melalui jaringan perlindungan serta peluang pembangunan yang lebih menyeluruh.
Sementara itu, PERKESO menjelaskan bahawa kerjasama ini turut melibatkan aktiviti advokasi, pendaftaran pencarum, pemudahcaraan pembayaran caruman, khidmat nasihat, dan tuntutan faedah bagi komuniti yang layak. Dari aspek keselamatan dan kesihatan, program kesedaran, latihan, penaksiran risiko, serta saringan kesihatan Pekerja termasuk saringan khusus bagi pemandu kenderaan berat turut dilaksanakan secara bersama.
Skop kerjasama ini diperluas menerusi penawaran skim LINDUNG Kasih bagi suri rumah serta LINDUNG Kendiri untuk peneroka, petugas, dan organisasi di bawah Kumpulan FELDA, di samping penekanan terhadap pengurusan kes, advokasi pematuhan, dan penyelarasan inisiatif A-CARE SIM Card bagi pekerja asing. Bagi memperkasakan generasi baharu FELDA, pelbagai program turut dirancang merangkumi pemprofilan dan padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, latihan kebolehpasaran, program intervensi, serta penganjuran karnival kerjaya.






Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Thak You For Your Comment